GENDANG PRU14 semakin kencang dipalu, pelbagai isu mula kedengaran dan pemimpin setiap parti mula turun padang bertemu pengundi. Namun isu yang tidak kurang pentingnya adalah perpecahan undi Melayu.

Umum mengetahui jika sebelum ini, majoriti orang Melayu diwakili Umno dan Pas. Kemudian pada era 90-an, parti Melayu yang lain seperti Semangat 46 dan Parti Keadilan muncul, sekali gus memberi variasi kepada undi orang Melayu. Bagaimanapun, pada PRU14 kali ini, dua parti baharu yang pertama kali bertanding pada pilihan raya umum, Amanah dan Bersatu turut menyasarkan orang Melayu. Jadi persoalannya adakah dengan banyak parti Melayu ini memberi kelebihan kepada Umno? Ramai menganggap jika pertembungan tiga penjuru, maka peluang BN untuk menang lebih besar, benarkah begitu?

Pengerusi Eksekutif Ilham Centre, Mohamad Hisommudin Bakar berkata, buat masa ini, rebutan masih terbuka kepada semua parti politik.

“Ini kerana pengundi parti kini menilai setiap aspek sebelum mereka membuat keputusan. Rebutan pada segmen pengundi baharu terutama pengundi muda, pengundi wanita dan pengundi atas pagar,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun, Mohamad Hisommudin berpendapat, peluang Pakatan Harapan (Harapan) kini tertumpu sejauh mana aura Tun Mahathir Mohamad dengan manifesto yang mengangkat solusi munasabah iaitu bebanan yang dihadapi rakyat.

Selain itu, menurutnya isu kepentingan Melayu, Raja-raja Melayu dan ketinggian martabat agama rasmi negara perlu jelas untuk menarik undi Melayu.

Tambahnya, perpecahan undi Melayu mula menjadi tumpuan dalam politik nasional selepas Tun Mahathir menarik sokongan terhadap kepimpinan Najib Razak dan Pas keluar daripada gabungan Pakatan Rakyat.

“Dua parti terbesar orang Melayu, Umno dan Pas melalui perubahan drastik. Pas berpecah dua selepas Muktamar 2015 di Kuala Selangor dan munculnya Amanah.

“Umno pula berdepan dengan Tun Mahathir dengan Deklarasi Rakyat. Disusuli pemecatan pimpinan kanan Umno menatijahkan lahirnya Bersatu dan Parti Warisan Sabah.

“Persoalan perpecahan segmen pengundi Melayu mula menarik perhatian menerusi Pilihan raya Negeri Sarawak dan dua PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar,” jelasnya.

Mohamad Hisommudin berkata, berdasarkan kes rujukan di dua pilihan raya kecil itu mengukuhkan asas perpecahan undi Melayu ini menguntungkan BN.

Hal ini terjadi katanya, apabila Pas tidak lagi bersama gabungan pembangkang dan posisi politik Pas membawa lari undi penyokong mereka dari memasuki kotak undi Harapan.

“Media dan penganalisis politik melihat bahawa dengan bersandarkan keputusan dua pilihan raya ini jelas menyumbang kepada kelangsungan politik Umno dan BN untuk kekal sebagai parti pemerintah. Amanah dan Bersatu digambarkan gagal memenangi hati pengundi Melayu luar bandar kerana perpecahan ini.

“Berdasarkan pengamatan dan kajian lapangan, kami dapati teori tiga penjuru menguntungkan BN sudah pun mempengaruhi persepsi awal pengundi yang ditemui kerana sudah dimainkan media arus perdana dan alternatif sejak Mei 2016.

“Maka apabila kajian dilakukan, dan pengundi diajukan soalan pertembungan tiga penjuru menguntungkan siapa, sudah tentu majoriti responden yang ditanam dengan persepsi awal ini akan menjawab BN ada kelebihan berbanding parti lain,” katanya.

Sementara itu, beliau tidak mengesahkan sepenuhnya BN akan terus menerajui negara kerana sebagai sorotan yang mungkin mengubah pola ini, ketika itu (dua PRK berkenaan) Tun Mahathir belum lagi menubuhkan Bersatu.

“Tun Mahathir belum juga menjadi Pengerusi Harapan. Belum di nobat calon perdana menteri. Oleh itu, bacaan awal nampaknya kini mungkin sudah berlaku perubahan kepada pendirian dan sikap pengundi Melayu.

Sumber; http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/belum-tentu-untungkan-bn-1.799903

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here