MANIFESTO Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang diumumkan malam tadi menyasarkan untuk meringankan beban dihadapi kebanyakan rakyat Malaysia, dengan ada yang menyifatkan ia bagai menawarkan “bulan dan bintang”, kata penganalisis.

Mereka berkata ia memberikan pakatan pembangkang satu peluang yang baik untuk membentuk kerajaan, sekurang-kurangnya satu penggal tetapi ia juga mendorong kerajaan pemerintah Barisan Nasional (BN) membentangkan tawaran balas lebih agresif.

“Mereka berikan pelbagai tawaran besar terhadap kebimbangan utama rakyat Malaysia seperti pemansuhan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), subsidi minyak, lebih banyak peluang kerja dan mengurangkan buruh asing,” kata Pengarah Ilham Centre Hisommudin Bakar.

“Tawaran mereka bermatlamat untuk mengurangkan kos sara hidup dan menambah pendapatan,” katanya.

Berbeza daripada “Buku Jingga” iaitu pelan jangka panjang Pakatan Rakyat (PR) yang kini terkubur, Hisommudin berkata manifesto PH untuk PRU14 mempunyai beberapa tambahan menarik seperti menyelesaikan hutang peneroka Felda, sumbangan wajib suri rumah untuk KESP, mengembalikan hak Sabah dan Sarawak serta skim perubatan negara.

Buku Jingga juga membentuk manifesto PR pada 2013, di mana PAS masih sebahagian pakatan itu.

Pensyarah Universiti Malaya, Prof Dr Awang Azman Awang Pawi berkata manifesto PH populis dan menjanjikan “bulan dan bintang” kepada pengundi.

“Ia akan menarik golongan muda, suri rumah, kumpulan B40 dan meliputi hampir semua bahagian pengundi,” kata pensyarah Pengajian Melayu itu.

“Manifesto itu cukup menarik untuk pengundi ‘mencuba’ Pakatan bagi sekurang-kurangnya satu penggal. Jika mereka tidak menepati janji, mereka boleh tukar lagi seperti di Terengganu dan Kedah,” kata Awang Azman.

Meningkatkan kepentingan

Bagaimanapun, keadaan itu akan menyebabkan BN memberi tawaran balas dengan sesuatu yang lebih drastik, kata Awang Azman.

“BN sudah pasti akan tawar lebih drastik walaupun ia kemudian dilihat sama ada gabungan itu dapat memenuhi janji atau tidak.

“Sebagai kerajaan pemerintah, BN akan buat segala-galanya dengan persempadanan semula dan kawalan terhadap agensi kerajaan untuk memenangi pilihan raya,” kata Awang Azman.

Hisommudin berkata manifesto itu mungkin disasarkan kepada pengundi luar bandar, graduan menganggur dan suri rumah.

“Tawaran itu akan memaksa kumpulan berkenaan untuk menilai semula merit manifesto PH secara objektif berbanding mengundi berdasarkan pengalaman, sejarah dan pilihan peribadi.

“Antara tawaran yang dibuat, saya dapati menyelesaikan hutang Felda dan pinjaman pelajaran PTPTN yang paling menarik.

“Dua tawaran yang paling sukar Pakatan laksanakan ialah gaji minimum dan pendidikan percuma,” kata Hisommudin.

Bekas presiden Persatuan Tindakan Wanita (Awam) Ho Yock Lin berkata cadangan untuk memperkenalkan sumbangan KWSP untuk suri rumah menjadi tambahan yang dialu-alukan dalam manifesto PH.

“Perkara itu sudah dibangkitkan beberapa tahun lalu dan ia langkah yang baik dalam menuju ke arah mengiktiraf produktiviti senyap suri rumah,” katanya kepada The Malaysian Insight, menambah ia sepatutnya meliputi suami yang tidak bekerja dan menjaga rumah tangga.

Ho mencadangkan mekanisme bagi suri rumah ialah mereka perlu mempunyai akaun KWSP di mana sumbangan boleh dibuat terus kepada mereka.

“Sebanyak 3% hingga 5% daripada pasangan yang bekerja dan majikan boleh menjadi permulaan yang baik,” kata Ho, yang juga ketua pegawai operasi Gabungan Bertindak Malaysia.

Berkenaan sama ada sumbangan tambahan itu akan membebankan perniagaan kecil, Ho berkata kerajaan boleh memulakan dana untuk membantu mereka menguruskan komitmen kewangan tambahan berkenaan.

Pekerja pada masa ini menyumbang 11% daripada gaji kepada KWSP sementara sumbangan majikan ialah 13%.

Sumber; https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/41944/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here