Penganalisis meramalkan penyandang jawatan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali akan berjaya mempertahankan jawatannya walaupun mendapat tentangan sengit daripada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Datuk Saifuddin Nasution Ismail kerana perpecahan undi daripada kelompok penentangnya.

Azmin yang juga ahli Parlimen Gombak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa dikatakan mempunyai kelebihan daripada segi sokongan dan kemahiran berpolitik.

“Azmin merupakan penyandang timbalan presiden, sudah tentu mempunyai kekuatan akar umbi yang kukuh,” kata Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) kepada The Malaysian Insider.

Shaharuddin berkata, beliau menjangkakan, Azmin akan beroleh kelebihan dalam pertandingan empat penjuru itu memandangkan beliau bersama PKR sejak 15 tahun lalu berbanding Khalid yang menyertai parti itu sekitar 2007.

Selain Azmin, Khalid dan Saifuddin, jawatan timbalan presiden PKR turut ditandingi oleh Datuk K Ramachandram dari PKR cabang Hulu Langat.

Shaharuddin yang mengajar di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM berkata, penyertaan Saifuddin yang juga setiausaha agung PKR, hanyalah untuk meredakan ketegangan antara Azmin dan Khalid yang akan memberikan kesan jangka panjang kepada PKR.

Dr Oh Ei Sun daripada Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam, Singapura pula meramalkan Azmin akan mengekalkan jawatan yang disandangnya berdasarkan pengalaman dan cara berpolitiknya.

“Khalid kurang dikenali dan tidak mahir berpolitik berbanding Azmin.

“Saifuddin seorang pekerja parti tapi tidak semahir Azmin,” kata.

Khalid dan Saifuddin dianggap berada dalam satu pasukan sama dalam kempen “Asal Bukan Azmin” yang digerakkan oleh sesetengah kumpulan dalam PKR.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Ilham Centre, Mohamad Hisomudin Bakar menyifatkan keputusan Saifuddin secara mengejut masuk bertanding menyebabkan anggota PKR terkeliru sama ada memilih Khalid atau Saifuddin.

“Bagi mereka (yang tidak menyokong Azmin) berkongsi satu matlamat untuk melawan Azmin selaku timbalan presiden tapi apabila Saifuddin masuk, perkiraan umum akan melihat ini akan pecah undi.

“Mana-mana undi Azmin akan kekal, manakala undi yang menolak Azmin akan pecah kepada dua iaitu Khalid dan Saifuddin,” katanya.

Hisomudin juga tidak menolak keputusan Saifuddin untuk mencabar Azmin mendapat sokongan pemimpin berpengaruh dalam parti tersebut.

“Ia menimbulkan persoalan, mengapa Saifuddin masuk bertanding juga.

“Sudah tentu anggota parti yang tidak menyokong Azmin akan membaca Saifuddin ini tidak akan mengambil keputusan yang begitu besar tanpa ada arahan ataupun isyarat daripada Anwar,” katanya.

Hisomudin berkata, pemilihan PKR kali ini bergantung kepada empat negeri yang mempunyai anggota teramai bermula di Selangor, Sabah, Pulau Pinang dan Perak.

Walaupun Azmin dilihat defensif pada ketika ini, pengaruh akar umbinya di dua kubu PKR iaitu Selangor dan Sabah menyebabkan beliau sukar digugat.

Daripada 500,001 ahli PKR yang layak membuat pilihan kali ini, hampir separuh daripada mereka berada di Selangor dan Sabah.

Selangor mempunyai 144,020 ahli manakala Sabah mempunyai 86,955 ahli PKR. Azmin merupakan pengerusi PKR Selangor dan bekas pengerusi PKR Sabah sebelum ini.

Namun, berdasarkan rekod pemilihan 2010, hanya 14% sahaja keluar membuang undi daripada jumlah ahli yang layak. Dari manakah jumlah 14% itu bergantung kepada kempen yang mereka buat.

PKR akan mengadakan pemilihan secara langsung untuk memilih pemimpin di semua peringkat, termasuk jawatan tertinggi parti. Pemilihan bermula pada 25 April dan berakhir pada 11 Mei. – 18 April, 2014.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY