Secara mudahnya cadangan yang dikemukakan oleh Datuk Seri Tengku Adenan Tengku Mansor bersifat kenyataan politik.

Sudah tentu ianya mempunyai maksud cadangan ini mendukung kepentingan politik yang menguntungkan UMNO dan Barisan Nasional. Cadangan ini boleh dibaca sebagai usaha terakhir BN untuk meneutralisasi pengaruh dan penguasaan politik DAP di Pulau Mutiara tersebut. 

Kesan kepada politik dan sistem pentadbiran begitu jelas sekiranya Pulau Pinang diletakkan di bawah pentadbiran Kementerian Wilayah Persekutuan.

Di bawah Wilayah Persekutuan yang mana tiada komponen Dewan Undangan Negeri sebaliknya akan diletak terus di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan. Cadangan ini secara otomatik melenyapkan penguasaan DAP di peringkat negeri Pulau Pinang. Alasan yang dikemukakan kononnya orang Melayu di Pulau Pinang diabai dan dipinggirkan oleh kerajaan DAP adalah hujah yang yang dangkal.

Sekiranya pembangunan dan kejayaan orang Melayu sebagai kayu ukur pengambilaihan sesebuah Negeri Tidak Bersekutu, sudah tentu ianya akan diukur kepada pencapaian di negeri Wilayah Persekutuan sekarang. Adakah orang Melayu terbela sepenuhnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Labuan dan Putrajaya? Bukankah sesuatu cadangan untuk membela sesuatu kaum adalah merupakan kenyataan berbaur perkauman dan sudah tentunya tidak baik dikeluarkan oleh seorang Menteri yang mewakili semua kaum di Malaysia. 

Tidak dinafikan wujud kebaikan dari segi ekonomi dan sosial yang mungkin dicapai di bawah Wilayah Persekutuan, namun perbahasan secara akademik dan konstruktif patut dikemukakan kepada rakyat. 

Sebab itu kami (ILHAM) melihat cadangan ini sebenarnya adalah cadangan yang bersifat politik sepenuhnya. BN nampaknya tidak lagi boleh bergantung harap kepada kekuatan parti kumpulan mereka iaitu MCA dan GERAKAN untuk mengambilalih Pulau Pinang daripada DAP. Dengan ini cadangan untuk meletakkan Pulau Pinang di bawah wilayah persekutuan sebagai usaha terakhir BN. – ILHAM Centre

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY