Executive Chairman of Ilham Centre Hisomuddin Bakar speaks to a journalist during an interview at a restaurant in Kuala Lumpur on November 8, 2013. The Malaysian Insider/Najjua Zulkefli

Nama Ilham Centre tidak berapa dikenali sebelum ini. Namun selepas kejayaan demi kejayaan membuat ramalan dengan tepat terhadap keputusan beberapa pilihan raya kecil (PRK) khasnya, badan penyelidik bebas ini mula dihormati.

Badan yang dikendalikan oleh sekumpulan anak muda ini mempunyai misi tersendiri iaitu untuk membawa “iklim” politik kajian di Malaysia, mengubah persepsi masyarakat dan ahli politik terhadap kajian-kajian yang dihasilkan oleh badan penyelidik tempatan.

Penyelidik tempatan tersebut mencuri tumpuan pemerhati politik kerana ketepatan ramalan keputusan dalam siri PRK sejak tahun 2008 lagi, namun Pengarah Eksekutif Muhamad Hisommudin Bakar (gambar) mengakui kajian politik di Malaysia masih  jauh ketinggalan berbanding negara jiran.

“Dalam kesedaran politik di Malaysia, khususnya dalam bidang kajian masih lagi ketinggalan.

“Justeru, semua pihak yang terlibat dalam sistem politik memberi galakan kepada firma-firma yang membuat kajian ini supaya  lebih banyak lagi memberi pandangan bagi dapatan tersebut boleh dikongsi dan seterusnya memperbaiki demokrasi di Malaysia,” kata Muhamad Hisommudin yang ditemui The Malaysian Insider.

Ilham terlibat secara aktif dalam kajian bermula semasa pilihan raya kerusi Parlimen Permatang Pauh pada 2008 lalu kemudian disusuli kemudiaannya dengan beberapa siri pilihan raya selepas itu.

Ketepatan ramalan dalam dua PRK baru-baru ini di Kuala Besut dan Sungai Limau menyebabkan pemerhati politik tertanya-tanya kaedah yang digunakan oleh Ilham Centre memandangkan ketepatan ramalan yang diperoleh.

“Kami berdiri atas asas kajian. Ini merangkumi bagaimana sampel itu diambil. Jika kita yakin persampelan itu tepat, maka tepatlah  ia.

“Kami gunakan pemilihan sampel rawak berstrata, kami mengukur dengan menentukan populasi itu mengikut beberapa kategori seperti umur, jantina dan pekerjaan supaya sekata dan boleh mewakili populasi itu,” terang beliau lagi.

Muhamad Hisommudin yang mendapat pendidikan dalam Sains Politik Islam di Universiti Malaya berkata strata tersebut diukur  menerusi tiga tingkat, iaitu menerusi parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan daerah mengundi sesebuah kawasan tersebut.

“Semua sampel perlu diambil di setiap daerah mengundi supaya kajian yang dilakukan tersebut  tepat,” kata  beliau lagi.

Bagaimanapun, Muhamad Hisommudin mengakui halangan yang dihadapi oleh Ilham Centre dan beberapa lagi badan penyelidik lain adalah sama iaitu untuk mendapatkan “kepercayaan” orang awam dan juga parti politik dalam setiap keputusan kajian yang  dikeluarkan.

“Dari segi kajian di Malaysia, saya merasakan kita masih lagi di bawah paras tidak memuaskan.

“Antara indikator kita boleh ukur, apabila sesuatu kajian yang didedahkan yang mengambil sampel kurang daripada 1,000 responden  biasanya dipertikaikan oleh awam. Kenapa jumlah responden begitu kecil, itu menunjukkan orang awam belum  masih terdedah dengan kaedah metodologi kajian,” kata Muhamad Hisommudin yang menegaskan setiap kajian memadai dengan  mengunakan sampel sebanyak 300 hingga 400 bagi memastikan setiap kajian yang dijalankan tepat.

Beliau juga menyifatkan ahli politik di Malaysia masih tidak matang dan jauh ketinggalan dalam politik berbanding negara lain.

“Apabila satu-satu kajian dibuat, berlaku juga pertikaian oleh ahli politik terhadap kajian tersebut.

“Iklim politik kita masih jauh ketinggalan kerana tidak dapat menerima fakta,” tambahnya lagi.

Ilham Centre ketika ini mempunyai lima staf yang bekerja secara tetap, terdiri daripada ahli geografi, statistik, grafik dan pegawai  perhubungan komunikasi.

Selain itu, Muhamad Hisommudin juga mengakui badan penyelidikan yang dikendalinya berhadapan dengan cabaran daripada segi dana.

“Masalah dana itu memang ketara.  Ilham sendiri memiliki dana yang sangat terhad.

“Namun, kami cuba sedaya upaya untuk berkongsi dapatan kami dengan orang awam,” ujarnya lagi.

Ketika ini, Ilham bergantung kepada sukarelawan daripada graduan sastera sains sosial dan mempunyai sekurang-kurangnya 40 sukarelawan yang dilatih oleh badan penyelidik tersebut. – 9 November, 2013.

1 COMMENT

  1. To S:It is because 釣魚台 is rtnureed to Japan as a package with Okinawa. It is more easily to establish that 釣魚台 is belonged to the Kingdom of Okinawa BUT it was a kingdom protected by both Imperial China and Japan. So, who owns Okinawa is the real owner of 釣魚台.

LEAVE A REPLY