Kerjasama PAS Ganggu PPBM Menang 4 Negeri

0
460

PETALING JAYA : Jika kerjasama PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) benar-benar jadi kenyataan, pola PPBM bertanding di negeri seperti Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan Selangor akan terganggu, kata firma kajian bebas.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Muhamad Hisommudin Bakar berkata ini kerana kebanyakan kerusi di negeri di kawasan pantai barat semenanjung itu terdiri daripada pengundi bercampur, dan pengundi Cina mengundi secara prinsipal serta menolak parti seperti PAS.

“Mereka akan menolak parti sebegitu. Kalau kerjasama 2 parti itu gagal dijelaskan, kesannya terhadap kerusi dipertandingkan bukan saja di kawasan Melayu, tetapi di peringkat nasional juga.

“Seperti yang sedia maklum, dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar, pengundi Cina menghukum PAS dengan menolak keseluruhannya.

“Implikasi kepada parti yang bekerjasama dengan PAS secara mudahnya akan mengalami penolakan ini,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Baru-baru ini, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengadakan mesyuarat bagi “menentukan” kerjasama antara kedua-dua parti.

Bagaimanapun, mesyuarat itu tidak dapat memutuskan bentuk kerjasama antara mereka dan membawa pulang “rangka kerjasama persefahaman” untuk dipertimbangkan pemimpin tertinggi PAS dan PPBM.

Hisommudin berkata PPBM perlu memberi perhatian terhadap aspek penolakan daripada pengundi Cina jika mahu mengadakan kerjasama dengan PAS.

Katanya, beliau melihat kerjasama PAS dan PPBM hanya kerana mereka mahu mengambil bahagian dalam segmen Parlimen yang majoritinya Melayu seperti di Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Sudah tentu bagi PAS kepentingan mereka ialah untuk kekalkan pemerintahan di Kelantan. Manakala bagi PPBM mereka mengintai peluang di Kedah.

“Di Kelantan contohnya, jika tiada kerjasama PAS dan PPBM, dan kemudian ada parti lain bertanding, sudah tentu PAS terkena kesan secara langsung daripada aspek penguasaan di negeri itu,” katanya.

Sehubungan itu, katanya beliau menjangkakan bakal berlaku kerjasama antara kedua-dua parti itu, tetapi masih banyak halangannya kerana ia membabitkan penerimaan akar umbi PAS.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY