KUALA LUMPUR: Secara prinsip, para penganalisis tidak menolak kemungkinan ‘hung parliament’ atau parlimen tergantung ini berlaku di Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Namun, terdapat beberapa senario yang mempunyai kemungkinan lebih tinggi untuk berlaku perkara itu.

Bagi Penganalisis Politik dari Universiti Malaya (UM), Prof Madya Awang Azman Awang Pawi, sekiranya situasi itu berlaku, Pas akan dapat merealisasikan hasrat mereka untuk menjadi penentu atau ‘kingmaker’.

“Namun, harus diingat bahawa jika kita mengambil contoh situasi parlimen tergantung di negara luar seperti di United Kingdom (UK) pada tahun 2010 misalnya, parti junior atau parti yang mempunyai bilangan wakil di Parlimen yang lebih rendah daripada parti rakan dalam kerajaan campuran berdepan kemungkinan untuk hilang sokongan daripada akar umbi pada pilihan raya seterusnya.

“Ini berlaku kepada parti Liberal Demokrat pada tahun 2010 dan 2015,” katanya.

Dalam pada itu, bagi Ketua Pegawai Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar, kemungkinan untuk Pas menjadi parti penentu adalah lebih rendah disebabkan keadaan dan sentimen politik semasa.

“Secara prinsipnya memang saya tidak menolak apa-apa kemungkinan tetapi senario parlimen tergantung ini dilihat lebih merujuk kepada dua blok dalam politik Malaysia iaitu Barisan Nasional dan Pakatan Harapan,” kata Hisomuddin.

Mereka diminta mengulas kenyataan ahli politik veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah bahawa situasi parlimen tergantung tidak mustahil boleh berlaku apabila Dewan Rakyat terbahagi dua dengan bilangan kerusi sama.

Menurutnya, situasi itu jika berlaku menunjukkan rakyat sebenarnya mahukan kerajaan perpaduan nasional.

Sumber; http://www.astroawani.com/video-malaysia/apakah-senario-kemungkinan-parlimen-tergantung-189395

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here