TERDAPAT ketidakpuasan hati dalam kalangan penyokong Umno dan PAS di negeri seperti Terengganu dan Kelantan, tetapi ia tidak cukup untuk bantu Pakatan Harapan menawan Putrajaya, kata pengarah eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar.

Penganalisis pilihan raya itu berkata ahli Umno di Terengganu amat kritikal terhadap parti mereka di bawah presiden dan Perdana Menteri Najib Razak.

“Mereka tidak gembira kerana mereka tidak dapat menangkis serangan pembangkang dan mereka juga terkesan dengan kenaikan kos sara hidup.

“Bagi (ahli) PAS, mereka tidak gembira dengan maklum balas kerajaan negeri terhadap isu seperti (pembalakan membabitkan) Orang Asli.

“Tahap ketidakpuasan hati itu berbeza, bergantung kepada lokasi, tetapi apa yang boleh kita katakan ialah bantahan semakin berkembang,” katanya kepada pemberita pada sebuah forum yang diadakan di Kuala Lumpur malam ini.

Katanya, adalah sukar untuk menentukan sama ada ketidakpuasan hati itu akan diterjemah menerusi undi protes pada Pilihan Raya Umum ke 14, berikutan kurangnya kehadiran parti pembangkang.

“Terdapat ketidakpuasan hati tetapi tiada siapa (parti) nyatakannya.

“Melainkan Pakatan Harapan atau parti seperti Bersatu mengetengahkan calon kuat atau individu yang mereka yang dikenali, mereka akan kekal dengan parti mereka,” katanya.

Tambahnya, negeri seperti Kedah, pengundi Melayu luar bandar masih setia kepada Umno dan BN berikutan kekurangan maklumat selain daripada naratif yang mereka terima.

“Dan di Baling (Kedah), mereka masih terpengaruh dengan pemberian bantuan,” katanya merujuk kepada pemberian menerusi kerajaan atau program parti pemerintah.

Hisommudin berkata sentimen ini direkodkan dalam kajian kumpulan fokus dengan pengundi yang diadakan lewat tahun lepas.

Sumber; https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/45225/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here