PKR Selangor berkata prinsip “satu lawan satu” menjadi keutamaan dalam berdepan dengan Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) akan datang berbanding “pelancaran” Sekretariat Pakatan Harapan (PH) negeri.

Timbalan Pengerusi PKR Selangor Zuraida Kamarudin turut menafikan dakwaan Amanah yang Menteri Besar Mohamed Azmin Ali enggan menubuhkan sekretariat PH di negeri itu.

“Perlu ada persefahaman di antara semua parti PKR, DAP, Amanah, Bersatu dan PAS untuk satu lawan satu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Tak betul kalau Amanah kata Azmin tak nak buat PH. Rundingan sudah berjalan cuma kita belum buat pelancaran saja. Pada saya pelancaran tak penting sangat.”

Ahli Parlimen Ampang itu berkata pertemuan sudah pun diadakan secara berasingan di antara PKR dan parti seperti DAP, Amanah dan PAS.

“Cuma kita belum adakan pertemuan bersama keempat-empat parti secara bersama.

“Bersatu di Selangor kita belum jumpa sebab dia masih baharu. Kita akan bertemu tidak lama lagi,” katanya.

Zuraida berkata PKR lebih mementingkan usaha mempertahankan Selangor yang diperintah sejak 2008.

“Kita juga turut fikirkan tentang survival Amanah dan Bersatu di Selangor sebab mereka parti baharu,” katanya yang juga ketua Wanita PKR.

Semalam, The Malaysian Insight melaporkan pemimpin Amanah Selangor mendesak Azmin yang juga timbalan presiden PKR berhenti memikat PAS untuk membentuk pakatan pilihan raya, sebaliknya hanya fokus pada pembentukan sekretariat PH peringkat negeri menjelang PRU14.

Pengerusinya Izham Hashim berkata di Selangor DAP, Amanah dan Bersatu sudah bersetuju untuk penubuhan sekretariat PH tetapi tergendala kerana PKR.

Mengapa Azmin masih belum tubuhkan sekretariat PH?

Penganalisis berkata Azmin tidak perlu terburu-buru menubuhkan sekretariat PH negeri kerana gabungan itu masih belum mencapai persefahaman mengenai senarai kepimpinan di peringkat nasional.

Mereka berkata dalam keadaan politik yang tidak menentu pada ketika ini, tidak salah bagi pengerusi PKR Selangor itu terus berunding dengan parti lain termasuk PAS bagi memastikan pimpinan kerajaan negeri dapat dipertahankan.

“PH di peringkat nasional masih belum memutuskan secara konsensus siapakah yang akan mengetuai blok pembangkang dan siapakah calon perdana menteri mereka.

“Dasar politik Azmin ialah membuka sebarang pilihan yang ada untuk berunding,” kata Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar kepada The Malaysian Insight.

Hisomuddin berkata Azmin tidak menutup pintu untuk terus bekerjasama dengan PAS kerana melihat kepentingan duduk bersama parti Islam itu dalam melawan Barisan Nasional (BN).

Penganalisis politik veteran Mohamad Abu Bakar senada dengan Hisomuddin, berkata sekretariat PH lebih penting di peringkat nasional tetapi tidak di peringkat negeri.

“Kita harus ingat, di peringkat nasional lebih penting untuk mempunyai struktur seperti PH kerana mereka perlu umumkan calon berpotensi untuk jadi perdana menteri bagi menggantikan BN.

“Tetapi ini tidak berlaku di peringkat negeri,” katanya.

Mohamad yang pernah memimpin Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya (UM) berkata terdapat faktor dan pengaruh lain menyebabkan Azmin tidak menubuhkan sekretariat PR dan terus bekerjasama dengan PAS di Selangor.

“Mungkin ada pengaruh Istana Selangor. Mungkin juga faktor daripada massa yang mahukan beliau mengekalkan keadaan sekarang,” katanya.

Mohamad berkata kegagalan BN menonjolkan tokoh berkaliber sebagai calon menteri besar Selangor memberikan kelebihan kepada PH sekalipun tidak bekerjasama dengan PAS.

Sementara itu, Izham berkata Azmin tidak mahukan tiga penjuru kerana takut kerajaan Selangor akan tumbang pada PRU14.

“Tapi banyak kajian seperti dilakukan Invoke mengatakan Selangor tidak kalah walaupun tanpa PAS. Di peringkat nasional mungkin kita kena kerja lebih sikit.

“Di Selangor kita mungkin kurang sikit kerusi daripada dulu tapi masih dapat dipertahankan,” katanya.

Izham berkata beliau mendapat maklumat PAS mengugut Azmin untuk bertanding di kerusi PKR jika beliau gagal mengawal Amanah.

“Ada beberapa kerusi yang saya rasa PAS bersedia untuk bertanding lawan PKR. Contohnya DUN Seri Setia yang dulu didakwa milik parti itu.

“Taman Medan, Kota Damansara itu sudah pasti kerana ia antara kerusi PKR yang PAS akan bertanding,” katanya. – 5 Julai, 2017

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here