AKHMA terpaksa memilih katil atas dalam bilik paling kecil di flat tiga bilik terletak di Presint 9, Putrajaya.

Ia bukanlah murah dengan bayaran sebanyak RM280 sebulan, tetapi masih jauh lebih murah berbanding menyewa sebuah bilik atau keseluruhan unit untuk dirinya sendiri sahaja. Katil bawah akan dikenakan kos tambahan RM20.

Walaupun merupakan pegawai kerajaan, dia terpaksa berkongsi flat itu dengan lima rakan serumah lain.

“Flat saya terletak di lokasi paling tidak disukai di Putrajaya, di mana kebanyakan pekerja asing tinggal. Saya tinggal di sini sejak satu tahun setengah dan ia bukan murah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Berusia 27 tahun dari Gombak, dia berkata terpaksa berpindah ke Putrajaya kerana tuntutan kerja, sebab yang sama mengapa dia membeli kereta Proton Saga.

“Saya sepatutnya boleh memilih untuk tinggal di rumah lebih besar atau membeli Myvi, tetapi saya mahu menyimpan sekurang-kurangnya 10% daripada gaji saya,” katanya, sambil menambah dia menghabiskan sebahagian besar gajinya untuk petrol dan makanan.

Beliau berkata kos sara hidup akan menjadi salah satu faktor utama apabila membuat keputusan parti politik yang dia akan undi pada pilihan raya umum akan datang.

“Saya tidak begitu mengikuti hal politik tetapi saya akan melihat manifesto pilihan raya mereka dan melihat mana yang akan memberi manfaat kepada orang seperti saya,” katanya yang masih belum membuat keputusan.

Penganalisis politik Mohamad Hisomuddin Bakar daripada Ilham Centre berkata, tidak seperti mereka golongan berjawatan tinggi yang menikmati pelbagai faedah, penjawat awam yang berumur 35 tahun ke bawah adalah golongan yang sanggup menukar undi mereka kerana pergelutan meneruskan kehidupan.

Sebanyak 1.6 juta penjawat awam, meliputi 12% daripada pengundi berdaftar, dianggap bank undi Barisan Nasional (BN).
“Kita juga boleh melihat trend pada pilihan raya lepas, dan jika keadaan tidak berubah, kami menjangkakan perubahan lebih besar daripada kakitangan awam,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Faktor seperti gaji rendah, kenaikan kos sara hidup, harga perumahan yang tinggi dan ringgit lemah menukar pola pengundian walaupun bagi mereka yang datang daripada keluarga yang menyokong Umno, katanya.

Disember lalu, The Sun melaporkan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Azih Muda berkata terdapat kira-kira 700,000 hingga 800,000 penjawat awam yang boleh dikategorikan dalam kumpulan isi rumah berpendapatan 40% terendah (B40).

Kesan KDNK tidak mengalir ke bawah

Pengarah Eksekutif Socio-Economic Research Centre Sdn Bhd Lee Heng Guie berkata walaupun ramalan pertumbuhan KDNK yang kukuh pada suku pertama 2017, rakyat masih bimbang terhadap keadaan ekonomi semasa.

“Ia terputus antara apa yang ditunjukkan data dan apa yang pengguna rasai. Rakyat masih berasa keadaan tidak bertambah baik kerana mereka melihat ekonomi secara keseluruhan dan melihat pertumbuhan yang perlahan sejak dua tahun lepas,” katanya.

Lee menambah senario boleh dilihat dalam Indeks Sentimen Pengguna (CSI) Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), yang masih di bawah skor 100 mata menunjukkan situasi kurang memberangsangkan. Inflasi harga pengguna Malaysia juga mencecah 5.1% pada Mac.

“Walaupun harga petrol jatuh dalam tiga minggu lepas, kos sara hidup masih tinggi dan akan terus memberi kesan kepada golongan pendapatan rendah dan sederhana. Ini memandangkan harga tidak berubah kerana pengusaha stesen minyak tidak akan menurunkan harga walaupun harga petrol turun,” katanya.

Kedudukan RAM menjangkakan ekonomi berkembang sebanyak 4.8% pada suku pertama, angka yang lebih tinggi daripada 4.5% pada suku keempat 2016. Agensi penarafan menamakan eksport yang lebih kukuh sebagai faktor utama bagi pertumbuhan suku pertama 2017. KDNK suku pertama 2017 dijadualkan dikeluarkan Bank Negara pada 19 Mei.
Hisomuddin berkata hanya penjawat awam kanan, seperti mereka yang memegang gred jawatan utama atau Jusa (Jawatan Utama Sektor Awam) bimbang tentang perubahan dalam kerajaan.

“Dogma penjawat awam mesti mengundi (parti pemerintah) berubah tetapi bagi pegawai kanan atau Jusa, ia masih mengenai orang Melayu Islam yang mesti memimpin kerajaan, bukan parti seperti DAP,” katanya.

Tindakan keras ke atas penjawat awam

Walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan tindakan keras baru-baru ini ke atas imigresen, kastam dan polis dalam beberapa minggu kebelakangan ini, pakar sains politik Dr Wong Chin Huat tidak fikir ia diambil kira semasa pilihan raya.

Felo Institut Pulau Pinang itu berkata majoriti kakitangan kerajaan bukan pembuat keputusan, penguat kuasa undang-undang atau memegang kuasa bagi mana-mana lesen atau proses permohonan.
“Oleh itu mereka tidak mempunyai kuasa mendapatkan rasuah atau menggelapkan wang rakyat. Saya ragu-ragu mereka akan dikenal pasti bersama pegawai rasuah yang menjalani hidup melebihi pendapatan mereka.

“Undi penjawat awam Najib goyah, tidak begitu terkesan dengan tindakan keras ke atas rasuah, tetapi kerana beliau tidak mempunyai wang untuk memberi subsidi dan kenaikan gaji bagi membeli sokongan mereka,” katanya.

Sentimen terhadap BN

Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan Profesor Mohammad Redzuan Othman berkata, perasaan terhutang budi di kalangan masyarakat Melayu kepada BN masih tinggi. 

“Ya, akan ada mengundi pembangkang, tetapi hanya mereka yang sedar mengenai apa yang berlaku. Ingatlah undi perkhidmatan awam boleh dipertikaikan, kerana walaupun mereka berasa bersyukur, ia tidak bermakna mereka akan mengundi parti pemerintah,” katanya.

Beliau berkata penjawat awam yang selalu mengundi parti pemerintah biasanya tidak pernah mengalami perubahan kerajaan, seperti Johor dan Melaka.

“Di Selangor, tahap kepuasan di kalangan penjawat awam sangat tinggi, lebih 60%. Tetapi mereka di Johor dan Melaka tidak pernah diperintah pihak selain Barisan Nasional (BN).

“Sebab itu mereka tidak bersedia mengambil risiko, melainkan jika sesuatu drastik berlaku yang menyebabkan mereka mengubah fikiran,” katanya, sambil menambah penjawat awam di Selangor kini menerima kerajaan pimpinan Pakatan.

Hisomuddin bagaimanapun berkata, sejumlah besar perubahan undi masih bergantung kepada keupayaan pembangkang menawarkan polisi lebih baik kepada kakitangan awam. – 19 Mei, 2017.

Sumber berita; https://www.themalaysianinsight.com/s/3368/

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY