Pertarungan di kerusi marginal Parlimen Kuala Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti akan ditentukan di kerusi majoriti Melayu, Jeram, satu daripada tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan Parlimen luar bandar itu, kata penganalisis politik.

Jeram signifikan kerana mempunyai lebih kurang 45% daripada keseluruhan jumlah pengundi di Kuala Selangor, dengan pecahan Melayu 82%, Cina 10% dan India 8%, berdasarkan data terkini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Dua kerusi DUN yang lain ialah Ijok dan Bukit Melawati.

Penganalisis politik, Hisommudin Bakar dari Ilham Centre berkata untuk merampas semula kerusi Parlimen itu, Pakatan Harapan (PH) memerlukan sekurang-kurangnya antara 25% hingga 30% sokongan pengundi Melayu, dan kebanyakan sokongan itu perlu didapatkan di Jeram.

Jeram dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) pada PRU 2013, dengan calon Umno mengalahkan PAS, sama seperti dua PRU sebelumnya pada 2004 dan 2008.

Pengundi Melayu juga majoriti di Ijok dan Bukit Melawati, masing-masing 60% dan 52%.

Hisommudin berkata PH boleh mengharapkan pengarah strateginya, Dr Dzulkefly Ahmad untuk memastikan peralihan undi itu berlaku kerana keperibadian dan ketokohan beliau di Kuala Selangor sebagai bekas ahli Parlimennya.

“Faktor Dr Dzulkefly, sekiranya jadi calon, mampu meraih undi PAS melebihi faktor parti Amanah itu sendiri,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau merujuk kepada perubahan landskap politik selepas PAS tidak lagi bersama pakatan pembangkang, selain watak dan personaliti Dr Dzulkefly yang disenangi oleh penduduk yang pernah beliau wakili di Parlimen selepas PRU12 pada 2008.

“Pengundi PAS yang rasional boleh berubah,” kata Hisommudin, yang membuat kajian lapangan sentimen pengundi di kawasan Kuala Selangor baru-baru ini.

Dzulkefly, yang juga pengarah strategik Amanah, menang pada PRU12 atas tiket PAS dengan majoriti 862 undi, peralihan undi yang besar lebih kurang 14,500 undi daripada BN kepada pembangkang. Pada PRU itulah juga BN hilang majoriti dua pertiga di Parlimen.

PAS ketika itu masih sebahagian daripada gabungan pembangkang atas nama Pakatan Rakyat. Kerjasama itu runtuh selepas PAS memutuskan hubungan mula-mula dengan DAP, dan kemudian PKR.

Dzulkefly adalah antara pemimpin PAS yang meninggalkan parti Islam itu untuk membentuk parti serpihan, Amanah pada 2015, atas kepercayaan kerjasama dengan PKR dan DAP adalah satu-satunya jalan untuk ke Putrajaya.

Pada PRU13, Dzulkefly yang masih lagi ketika itu bersama dengan PAS, kalah kepada calon muda BN, Irmohizam Ibrahim dengan 460 undi.

Hisommudin yakin sebahagian daripada pengundi Melayu yang dulu mengundi Umno akan beralih kepada PH kerana faktor Dr Mahathir Mohamad, yang juga disebut-sebut sebagai antara faktor akan berlakunya “tsunami Melayu” pada PRU14 nanti.

Namun “tsunami Melayu” yang diharapkan di Kuala Selangor itu nanti dilihat bakal berdepan cabaran kempen isu kaum dan agama, dan antara satu isu tempatan yang dijangka akan berbangkit ialah pembinaan kawasan kubur Cina dalam kawasan Jeram.

Jirat Cina seluas lebih kurang 100 hektar itu didakwa diluluskan oleh kerajaan negeri Selangor pada September 2016 tanpa perbincangan dengan penduduk berdekatan, dan sehingga sekarang, masih terus dibangkitkan oleh pengkritik pentadbiran Menteri Besar Selangor Azmin Ali melalui blog.

Bukan mudah walau majoriti rendah

Dzulkefly mengakui cabaran yang dihadapinya di Kuala Selangor kerana landskap politik sudah berbeza berbanding semasa beliau menang pada 2008, namun berharap dapat mengulanginya semula walaupun Pakatan Rakyat ketika itu kalah di Jeram.

“Ini bukan satu pertandingan yang mudah.”

Daripada 19 pusat daerah mengundi (PDM) di Jeram, Dzulkefly menang lapan pada kedua-dua pilihan raya pada 2008 dan 2013.

Jenteranya kini berharap dengan gerak kerja turun padang yang dijalankan selama ini, PH boleh menambah sokongan di Jeram.

Selebihnya, Dr Dzulkefly berharap dapat bergantung pada “modal sosial” yang dibinanya selama berkhidmat kepada rakyat di Kuala Selangor sebelum ini.

“Faktor Dr Dzulkefly” yang disebut oleh penganalisis itu jugalah yang dilihat asas kenapa beliau kalah hanya dengan undi yang kecil ketika jumlah pengundi di Kuala Selangor meningkat kira-kira 15,000 orang pada PRU13.

“PAS ketika itu mendaftarkan hanya 3,000 pengundi baharu saja,” katanya.

Data PRU13 juga menunjukkan ada kira-kira 1,700 pemilih yang mengundi beliau untuk kerusi Parlimen tetapi memberi undi kepada BN untuk kerusi DUN.

“Tetapi dengan pertarungan tiga penjuru nanti, ia akan jadi lebih sukar,” kata Dzulkefly.

Isu kebajikan

Bagi petugas jentera PH, ada isu lain yang lebih besar dan mendesak yang jadi perhatian seluruh pengundi di Kuala Selangor, yang sebahagian besarnya bergantung pada sektor pertanian.

“Ini kawasan luar bandar. Isu utamanya ialah kebajikan dan ekonomi rakyat,” kata Ketua Biro Pilihan Raya Amanah Kuala Selangor B. Sivabalan kepada The Malaysian Insight.

Soal kebajikan dan ekonomi ini pula sangat membelenggu terutamanya 22% pengundi India di Kuala Selangor, yang sebahagian besarnya adalah pekerja atau bekas pekerja estet.

“Apabila tinggal di estet, semuanya disediakan. Rumah ada. Elektrik ada subsidi. Apabila mereka keluar dari estet, mereka terpaksa bina semula hidup,” katanya.

Hisommudin berkata kaji selidiknya mendapati masyarakat India di Kuala Selangor merasakan hidup mereka tiada pembelaan dan mereka rasa tersisih.

Antara isu kebajikan yang juga dihadapi oleh penduduk lain termasuklah isu sama yang juga dihadapi oleh rakyat Malaysia keseluruhannya: kos sara hidup meningkat, harga barang semakin mahal, peluang pekerjaan menguncup dan harga rumah tidak mampu dimiliki.

Seorang pengundi India, Mohan, 48, berkata apa yang diharapkan oleh penduduk ialah peluang pekerjaan di Kuala Selangor supaya mereka tidak lagi perlu ke Kuala Lumpur, Shah Alam atau Klang untuk bekerja.

“Di sini mana ada kerja, pekerjaan kurang. Kalau boleh buatlah kilang di sini, bagi orang kerja,” katanya, yang hanya mahu berkongsi pandangan tanpa memberi nama penuhnya.

Isu ditangani

Irmohizam mengambil maklum pelbagai isu yang dihadapi oleh rakyat di Kuala Selangor dan memberitahu usaha telah dan sedang dilakukan bagi menangani keperluan semua rakyat.

“Walaupun sudah ada banyak perubahan berjaya diusahakan di Kuala Selangor, saya sedar isu seperti kos sara hidup, perumahan dan lain-lain bermain dalam fikiran rakyat,” katanya.

Tentang peluang pekerjaan, Irmohizam berkata beliau melihat potensi Ijok untuk dijadikan hab industri yang akan disokong oleh Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat yang melalui Kuala Selangor, apabila siap sepenuhnya pada awal 2019.

Pada masa sama katanya, kedudukan Kuala Selangor sebagai daerah bersejarah yang juga mempunyai pelbagai tarikan serta makanan istimewa boleh menyediakan peluang pekerjaan dan sumber pendapatan kepada rakyat.

Beliau juga menyebut banyak jeti nelayan sudah dinaik taraf termasuk hab pendaratan ikan di Sungai Sembilang, dalam kawasan DUN Jeram, yang dirasmikan oleh perdana menteri awal tahun ini.

Dengan wawasannya itu, anak tempatan kelahiran Kampung Kuantan yang terkenal dengan kelip-kelip itu yakin, sekiranya dicalonkan semula, beliau boleh mengekalkan BN di kerusi Parlimen Kuala Selangor.

“Tetapi saya tidak boleh rasa ‘over confident’. Saya harus dilihat sebagai aktivis yang berjuang untuk rakyat dan membawa suara mereka di Parlimen.

“Mereka harus tahu bahawa mereka ada ‘fighter’ untuk memperjuangkan masalah mereka,” katanya. – 13 Disember, 2017.

Sumber; https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/27037/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here