KENYATAAN MEDIA ILHAM CENTRE
12 OKTOBER 2018, JUMAAT

POLA PENGUNDIAN DALAM PILIHANRAYA KECIL P132 PORT DICKSON

ISA SAMAD SAINGAN TERDEKAT ANWAR, PAS MUNGKIN HILANG DEPOSIT

PENDAHULUAN

Tumpuan hari-hari akhir kempen bertumpu kepada arah dan pola pengundian di kalangan pengundi Melayu-UMNO untuk membuat keputusan dalam pilihanraya ini. Ternyata pengundi UMNO yang mengundi Barisan Nasional dalam PRU-14 lalu berada dalam situasi yang tidak dapat ditelah dengan tepat.

Pilihan mereka sama ada mengundi Tan Isa Samad bekas pimpinan UMNO di sini yang sekarang melawan UMNO; mengundi calon PAS atas dasar Islam-Melayu walaupun PAS tidak mempunyai kekuatan di sini; mengundi Dato’ Seri Anwar Ibrahim kerana UMNO telah tewas teruk di sini ataupun kelompok ini memboikot dengan tidak keluar mengundi.

Calon nombor 1, Anwar Ibrahim selesa dengan kelebihan undi bukan Melayu dan kedudukan ini gagal dicabar oleh calon-calon lain.

Bagi pihak luar, jumlah peratusan keluar mengundi dan majoriti yang diperolehi oleh Anwar menjadi pertaruhan dan perbincangan sepanjang kempen ini. Pengundi tempatan pula kekal ‘tenang’ dan mereka sudah mempunyai keputusan untuk diterjemahkan dalam pilihanraya kecil kali ini.

Dalam kajian ini, yang dilakukan secara secara tatap muka bermula 8 Oktober sehingga 11 Oktober 2018, kami telah menemui 817 responden di P132 Port Dickson meliputi semua segmentasi kaum, jantina dan umur pengundi serta lokaliti. Dengan menggunakan teknik persampelan rawak berstrata, ralat kajian yang ditemui ialah 2.03 peratus.

ANWAR TERLALU DOMINAN DAN SUKAR DISAINGI

Menuju saat-saat akhir pembuangan undi, Anwar kekal menjadi calon tunggal yang paling terkehadapan dalam siri kempen yang dilakukan. Gerak kerja kempen yang lebih tersusun, jentera yang berpusat di setiap pusat pengundian dan variasi bahan-bahan kempen yang boleh dilihat sekitar Port Dickson. Sebagai calon yang diwar-warkan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-8, memberi kelebihan buat Anwar untuk menonjolkan diri dalam siri kempennya.

Berdasarkan dapatan kajian 64 peratus pengundi menerima Anwar Ibrahim sebagai yang memilih Port Dickson sebagai tapak beliau untuk menggalas jawatan Perdana Menteri selepas Tun Dr Mahathir Mohamad.

Persoalan yang timbul di kalangan pengundi ialah sejauh mana keinginan Anwar untuk kekal di Port Dickson dalam pilihanraya umum ke-15 akan datang sekiranya menang kerana beliau tidak mempunyai nilai sentimental dan legasi di kawasan ini.

ISA SAMAD: PENCABAR TERDEKAT ANWAR IBRAHIM

Antara semua calon yang bertanding, kajian kami menunjukkan Isa Samad merupakan pencabar terdekat Anwar Ibrahim. Meskipun beliau bertanding sebagai calon bebas dan tidak membawa obor UMNO-Barisan Nasional, Isa Samad jelas masih mempunyai pengaruh yang kuat di terutama di DUN Bagan Pinang dan DUN Linggi.

Pengaruh kekeluargaan, sentimental hubungan peribadi antara beliau dan pengundi serta elemen politik ‘balas budi’ sangat kuat di dua kawasan ini. Majoriti responden terutama kalangan warga emas dan veteran UMNO yang kami ditemui bersetuju Isa Samad telah banyak menyumbang bakti dan berjasa membangunkan kawasan mereka semasa Isa menjadi ADUN Bagan Pinang dan Menteri Besar Negeri Sembilan.

Namun, Isa kehilangan undi Cina dan India. Pola pengundi bukan Melayu jelas masih memihak dan kekal dengan Pakatan Harapan dan dalam pilihanraya kali ini penolakan terhadap calon selain daripada PH masih kuat. Oleh itu, calon selain daripada Anwar Ibrahim bergelut dan seolah-olah berputus asa untuk memenangi hati pengundi bukan Melayu.

Beliau juga bakal kehilangan undi saluran muda dan sebahagian ahli parti UMNO apabila beliau mengisytiharkan keluar UMNO dan menjadi calon bebas. Pola pengundian pengundi muda di bawah 40 tahun tidak berkongsi nilai sentimental terhadap Isa Samad sepertimana generasi sebelumnya. Anak muda UMNO kelihatan hilang arah dalam pilihanraya kali ini. Imej Isa Samad yang terpalit dengan skandal dan kegagalan pemimpin Felda melatari imej negatif di kalangan pengundi muda terhadap beliau.

PAS KEMUNGKINAN HILANG DEPOSIT

Dalam tinjauan kami, jentera lokal lumpuh dan tapak sokongan PAS semakin mengecil selepas majoriti ahli PAS terutama di kawasan Telok Kemang menyertai AMANAH sejak tiga tahun yang lalu. Kempen kali ini banyak digerakkan oleh jentera luar terutama dari PAS Selangor dan PAS Terengganu manakala jentera lokal iaitu PAS Port Dickson serta PAS Negeri Sembilan kelihatan hilang kemampuan dan arah dalam memacu kemenangan PAS.

Gerak kerja PAS hanya tertumpu dalam kalangan segmen orang Melayu khususnya pengundi UMNO yang boleh memilih PAS sebagai alternatif yang dirasakan boleh mempertahankan Melayu dan Islam setelah UMNO membuat keputusan memboikot pilihanraya kali ini. Menyedari sukar menyaingi Anwar, fokus utama PAS hanyalah untuk mengekalkan undi yang diperolehi oleh mereka dalam PRU-14 dan memastikan mereka adalah pencabar terdekat Anwar Ibrahim.

Percaturan asal PAS melihat pertembungan mungkin dua penjuru selepas UMNO memboikot pilihanraya ini. Tetapi keputusan mengejut Isa Samad keluar UMNO dan tampil menawarkan menjadi calon bebas telah merencatkan strategi PAS ini.

Berdasarkan tinjauan kami, PAS gagal mendapat sokongan undi Melayu yang mencukupi dan berada di kedudukan ketiga selepas Isa selain berkemungkinan tinggi untuk kehilangan deposit.

PENYERTAAN CALON-CALON BEBAS YANG LAIN

Pilihanraya kecil kali ini turut menyaksikan penyertaaan lima orang calon bebas yang masing-masing mempunyai pelbagai justifikasi tersendiri untuk memasuki pilihanraya kali ini. Berdasarkan gelagat dan pola pengundi di Malaysia sebelum ini memperlihatkan calon-calon bebas sebenarnya sukar melepasi dua peratus daripada jumlah pengundi yang keluar mengundi. Kami menjangkakan nasib yang sama akan menimpa calon-calon bebas ini akan hilang wang pertaruhan kecuali calon berlogo kerusi, Isa Samad.

Penyertaan Saiful Bukhari menjadi calon bebas di Port Dickson ini hanya sekadar ingin menghantui dan menganggu psikologi Anwar Ibrahim. Siri ziarah Saiful Bukhari dan menemui pengundi sepanjang kempen ini berlangsung hanya melibatkan isu liwat beliau semata-mata. Oleh itu calon ini tidak mampu untuk memberi saingan kepada tiga calon yang lain.

Kehadirannya lebih tertumpu untuk meraih undi daripada orang Melayu dan tiada sebarang tawaran melainkan sekadar bergantung kepada meraih simpati isu peribadi beliau dengan Anwar Ibrahim.

KEHADIRAN MAHATHIR MEMBANTU ANWAR

Pergerakan kempen Pakatan Harapan adalah lebih tersusun. Parti-parti komponen yang lain telah membuktikan setiakawan yang kuat dengan menubuhkan bilik operasi berasingan di setiap DUN dalam Parlimen ini. Setelah menjadi Kerajaan kempen Pakatan Harapan dilihat lebih berdaya berbanding kempen mereka di zaman pembangkang.

Kehadiran Tun Mahathir Mohamad yang turun berkempen pada Selasa lalu berjaya memadamkan berita-berita yang menyasarkan hubungan renggang Mahathir-Anwar. Dalam tinjauan kami, kehadiran Tun memberikan moral yang tinggi kepada jentera Pakatan Harapan dan memberikan sedikit lonjakan pada segmen pengundi Melayu untuk menerima Anwar Ibrahim sebagai calon yang perlu dipilih dalam pilihanraya kecil kali ini.

ISU DAN NARATIF POLITIK PEMBANGUNAN

Mengenai isu-isu yang dekat di hati pengundi, kajian menunjukkan pengundi masih lagi terkesan dengan kos sara hidup yang tinggi apabila mereka menyatakan tentang barangan keperluan yang semakin naik sebanyak 76 peratus diikuti isu pendidikan sebanyak 47 peratus dan kesihatan sebanyak 32 peratus.

Pujian harus diberikan kepada Pakatan Harapan kerana penggunaan jentera Kerajaan Negeri dan Persekutuan yang sangat minimal dalam pilihanraya kecil kali ini. Berbanding tiga pilihanraya kecil terdahulu di Seri Setia, Sungai Kandis dan Balakong pasca 9 Mei, ternyata Malaysia kini berada dalam landasan yang tepat untuk memperlihatkan budaya politik baharu meskipun terdapat rungutan kecil pengundi yang tidak mendapat laba segera sepertimana era pemerintahan parti terdahulu.

Justeru, naratif politik pembangunan di Port Dickson dilihat tenggelam punca tanpa ada pengistiharan besar-besaran tentang janji-janji pembangunan. Meskipun demikian, wujud cubaan beberapa pihak swasta dan NGO juga untuk membawa naratif politik pembangunan ini namun ianya tidak dilihat oleh pengundi sebagai sesuatu perkara yang serius.

Meskipun demikian, wujud keterujaan sebahagian pengundi tentang pembangunan yang bakal dibawa oleh Anwar selepas beliau menang dan menjadi Perdana Menteri nanti. Dengan lokasi strategik dan berdekatan dengan Putrajaya, Anwar semestinya akan mencuba sedaya-upaya untuk membawa pembangunan di kawasan yang bakal diwakilinya setelah sekian lama berkubu di Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Dalam semua calon yang bertanding, Anwar sahaja yang berkeyakinan dalam tawaran pembangunan di sini. Tidak dinafikan faktor sebagai parti pemerintah sedikit sebanyak memberikan kelebihan buat Anwar. Isa Samad pula dalam penekanan kempennya hanya menjual dirinya sebagai calon tempatan dan bakti yang telah beliau berikan sebelum ini di Port Dickson khasnya dan Negeri Sembilan. Calon PAS dan jentera mereka pula seakan hilang arah. Mereka hanya cuma mengharapkan undi Melayu UMNO dan tentera sahaja. PAS meletakkan seorang bekas tentera sebagai calon membuktikan mereka ingin mendapat lonjakan undi yang besar daripada undi tentera.

PERATUSAN KELUAR MENGUNDI

Meneliti peratusan keluar mengundi dalam siri pilihanraya kecil pasca 9 Mei, pengundi jelas dalam keadaan tepu (fatigue) setelah berjaya menumbangkan Barisan Nasional buat pertama kali dalam sejarah Malaysia. Sekiranya keluar mengundi pada pilihanraya kali ini boleh mencecah 60 peratus, ianya sudah memadai dan merupakan kejayaan kepada Anwar dan Pakatan Harapan.

KESIMPULAN

Kempen yang berakhir pada jam 12 tengah malam ini akan menyaksikan usaha terakhir semua calon-calon yang bertanding untuk memastikan jumlah keluar mengundi melepasi aras peratus yang rendah dalam siri pilihanraya kecil sebelum ini.

Secara mudahnya, kemenangan seolah-olah menjadi milik Anwar Ibrahim namun kedudukan pengundi Melayu menjadi kayu ukur utama kejayaan beliau di Port Dickson ini. Ternyata Pakatan Harapan yang kini menerajui Kerajaan berjaya meletakkan satu aras baharu dalam kempen mereka dan dalam masa yang sama koalisi pembangkang ternyata gagal dan masih belum berjaya bangkit daripada kekalahan PRU-14 yang lalu. Ketiadaan UMNO yang mencabar kehadiran Anwar di sini menyebabkan calon-calon yang lain tidak dapat memberi saingan yang sengit kepada calon Pakatan Harapan.

Akhirnya, tumpuan seluruh rakyat hanya kepada pengundi Port Dickson yang akan menentukan jumlah sebenar peratus keluar mengundi dan jumlah majoriti yang akan diperolehi oleh bakal Ahli Parlimen Port Dickson yang baru.

Disediakan oleh:

Azlan Zainal
Pengarah Eksekutif ILHAM CENTRE
Bertarikh 12 Oktober 2018
5.05 petang

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here