KUALA LUMPUR: Hasrat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang meletakkan sasaran mendapat majoriti mudah sekaligus membentuk kerajaan sendiri pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti tidak realistik.

Hujah Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar dalam situasi akan berlaku pertembungan tiga penjuru dan Pas kehilangan sokongan pengundi bukan Melayu, hasrat Abdul Hadi itu dilihat sukar dicapai.

Biarpun menghormati sasaran yang diletakkan oleh Ahli Parlimen Marang itu, Hisomuddin menjelaskan Pas perlu mengambil kira perkembangan semasa dan tidak terpengaruh dengan kehadiran ramai ahli di himpunan Fastaqim yang dianjurkan.

“Kenyataan itu untuk membentuk keyakinan kepada pengundi bahawa Pas masih kuat dan relevan tetapi hakikatnya sasaran itu terlalu tinggi untuk dicapai.

“Dalam situasi pertembungan tiga penjuru yang mana pengundi melayu terpecah kepada tiga, jadi situasi ini adalah faktor yang menyokong bahawa sasaran pas itu adalah terlalu tinggi dan sukar dicapai,” katanya kepada Astro AWANI.

Pas berhasrat untuk membentuk kerajaan sendiri selepas pilihan raya umum akan datang dan meletakkan sasaran mendapat majoriti mudah dengan bertanding 130 kerusi.

“Kemungkinan kita akan bertanding 130 lebih kerusi. Sekurang-kurangnya majoriti mudah,” kata Abdul Hadi selepas merasmikan jentera pilihan raya Pas Selangor bersempena perhimpunan Fastaqim 2.4.

Selain itu Pas juga berhasrat untuk menguasai kerajaan Selangor dan menjadikan negeri itu sebagai antara negeri utama untuk Pas menang besar pada PRU akan datang.

Mengulas lanjut, Hisomuddin menjelaskan, keyakinan Pas itu timbul mungkin kerana himpunan Fastaqim yang mendapat sokongan ahli parti itu.

“Pas berpendapat dengan kehadiran ramai ahli di Fastaqim itu mereka (Pas) merasakan jentera mereka begitu kuat untuk berdepan PRU akan datang,

“Namun, Pas perlu menyedari bahawa kekuatan jentera bukanlah penyumbang utama kemenangan kepada mana-mana parti dalam PRU,” katanya lagi.

Beliau menjelaskan, hasil tinjauan yang dibuat oleh Ilham Centre, Pas perlu membentuk gabungan dengan mana-mana parti yang kuat untuk mendapat sokongan.

Sumber; http://www.astroawani.com/berita-politik/malaysiamemilih-hasrat-pas-bentuk-kerajaan-sendiri-tidak-realistik-penganalisis-166247

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here