KUALA LUMPUR: Pas, sebuah parti politik yang mendakwa mereka memperjuangkan Islam, kini dikatakan semakin terpinggir dari arus perdana politik negara, kata seorang penganalisis politik.

Portal Malaysia Dateline dalam laporannya mendakwa, ahli-ahli Pas juga keliru dengan kepimpinan mereka yang dilihat tidak dapat menjelaskan hala tuju parti menjelang pilihan raya umum akan datang.

Kekeliruan ahli-ahli Pas timbul ekoran sikap pemimpin mereka yang dilihat lebih mesra dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang selama ini merupakan musuh tradisi parti itu.

Hujah mengatakan Pas semakin terpinggir dari arus perdana politik tanah air dibuat hasil kajian lapangan yang dibuat oleh Ilham Centre yang menemui ahli-ahli Pas diseluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar mendakwa hasil kajian lapangan pihaknya mendapati ahli Pas dipeingkat akar umbi tidak setuju dengan pendekatan kepimpinan parti itu yang lebih mesra dengan UMNO berbanding bekerjasama dengan parti pembangkang yang lain.

“Ahli bawah yakin, suasana tidak akan memihak mereka jika berlaku pertandingan tiga penjuru dan mereka lebih setuju dielakkan perkara itu dengan memastikan berlakunya pertandingan dua penjuru pembangkang melawan BN,” katanya seperti dilaporkan Malaysia Dateline.

Hisomuddin mendakwa, pendekatan Pas yang enggan bekerjasama dengan Parti Amanah Negara (Amanah) dan Dap menyusahkan parti itu sendiri.

“Tindakan pimpinan Pas meletakkan dasar tidak akan sekali-kali bekerjasama dengan DAP dan Amanah dari awal-awal lagi bagi saya adalah satu kesilapan.

“Ini kerana, politik ini adalah serba mungkin. Apabila sudah dijadikan dasar tidak akan bekerjasama dengan DAP dan Amanah, ia menyebabkan pergerakan Pas akan terhad dan terkongkong dengan perkara ini.

“Jika tiba-tiba boleh pula bekerjasama dengan kedua-duanya, Pas akan dilihat tidak ada pendirian pula,” kata Hisomuddin.

Ujar beliau, keputusan kepimpinan Pas yang hanya menjalinkan hubungan dengan PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tetapi dalam masa sama tetap enggan bekerjasama dengan Amanah dan DAP menulitkan kedudukan parti itu sendiri.

“Ahli biasa Pas atau mana-mana pendokong parti politik lebih senang berfikiran mudah dan jelas bukan berliku-liku,” katanya.

Hisomuddin menjangka ahli-ahli Pas yang keliru ini berkemungkinan menyertai atau memberi undi kepada Amanah jika parti serpihan Pas itu lebih jelas halatuju dan tindakan mereka.

“Pas boleh kehilangan ahli yang kritikal semacam ini jika terus bersikap begini,” kata Hisomuddin.

Sikap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga mengelirukan ahli-ahli parti itu.

Abdul Hadi dilihat mesra dengan UMNO manakala Tuan Ibrahim pula cenderung untuk bersama pakatan pembangkang.

“Ketika orang nombor satu Pas dan penyokong tegarnya dilihat mendekati pemimpin Umno, orang nombor dua pula dilihat menjauhi dari Umno dan mahu mendekati parti pembangkang yang lain.

“Namun mesej orang nombor dua juga dilihat terkongkong kerana dasar tidak mahu bekerjasama dengan DAP dan Amanah ini.

“Jadi dari hari ke hari Pas dilihat semakin terpinggir dari arus perdana politik tanah air dan ahlinya terus keliru,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here