Badan penyelidikan Ilham Centre menjangka PAS akan mengekalkan kerusi DUN Sungai Limau apabila mendapati sokongan untuk parti Islam itu antara 53 hingga 55% menjelang hari membuang undi pada pilihan raya Isnin ini.


Pengerusi Eksekutif Ilham Centre, Mohamad Hisomudin Bakar dalam kenyataannya kepada media berkata, perolehan ini berdasarkan kajian mereka secara bersemuka dengan 602 pengundi di Sungai Limau sejak 28 Oktober hingga 1 November.

“Sepanjang tempoh kajian dijalankan, kami mendapati faktor identifikasi parti yang terlalu menebal di kalangan pengundi penyumbang kepada pengekalan undi PAS di sini,” kata Hisomudin.

Ilham Centre adalah sebuah badan penyelidik yang mempunyai rekod pencapaian baik apabila jangkaan mereka menjelang pilihan raya kecil sentiasa tepat sejak pilihan raya kecil Kuala Terengganu pada tahun 2008 lagi.

Metode bertemu responden secara bersemuka adalah antara kajian yang dibuat oleh Ilham dan ternyata ia mempunyai margin kesilapan sangat kecil.

Menurut Hisomudin, kajian kali ini mendapati pilihan raya kecil Sungai Limau memperlihatkan dengan jelas pertembungan antara PAS dengan Umno dan bukan Pakatan Rakyat dengan Barisan Nasional.

Mereka juga mendapati pengundi Sungai Limau sangat tegar dan dipengaruhi oleh identifikasi parti berbanding faktor-faktor lain.

“Faktor ini menyumbang sebanyak 81% yang diambil kira oleh pengundi berbanding faktor calon (12%) dan faktor isu hanya 4% sahaja,” kata Hisomudin.

Pengaruh dua pondok di kawasan pilihan raya ini iaitu Pondok Bukit Besar dan Pondok Pak Ya yang dimiliki oleh tokoh PAS juga memberikan sumbangan besar sokongan kepada PAS.

Dapatan kajian membuktikan bahawa pengundi yang tinggal di daerah mengundi sekitar pondok-pondok tersebut adalah kubu kuat PAS seperti Bukit Besar, Bukit Choras, Gelam Tiga, Batu 16, Permataang Buloh dan Sungai Dedap.

Kawasan ini sukar ditembusi Umno untuk menafikan majoriti besar yang diperoleh PAS dalam DUN ini.

Manakala daerah mengundi yang jauh daripada jangkauan pengaruh pondok seperti Dulang Kechil, Dulang Besar, Sungai Kering dan Sungai Daun kelihatan pengaruh Umno lebih menyerlah berbanding PAS.

Menurut kajian itu, terdapat daerah mengundi yang sentiasa berubah pola sokongan dan menjadi rebutan silih ganti di antara PAS dan Umno seperti Sedaka, Ulu Sedaka, Simpang Tiga, Kabu Sepuloh dan Sungai Limau.

Pola sokongan PAS di daerah mengundi Padang Lumat pada tradisinya adalah kubu kuat PAS berlaku perubahan ketara ekoran berlaku krisis dalaman PAS kawasan.

Antara keunikan kawasan ini ialah peratusan pengundi atas pagar (fence sitter) amat kecil iaitu sekitar 11% sahaja berbanding kawasan lain yang kebiasaannya mencecah 30%.

Dapatan kajian Ilham juga menunjukkan Umno/BN yang turun berkempen dalam situasi underdog kelihatan cukup agresif menggunakan segenap instrumens dan kekuatan jentera.

Manakala PAS pula mengggunakan strategi bertahan kerana yakin dengan kesetiaan pengundi untuk kekal dengan PAS.

Penilaian pola sokongan pengundi tidak berlaku anjakan ketara berdasarkan tiada pengumuman lompat parti bagi kedua-dua pihak. Senario ini mengukuhkan bahawa pengundi Melayu selesa dengan mengekalkan status quo pilihan parti mereka.

Merujuk kepada soalan Ilham Centre kepada pengundi berkaitan dengan pengekalan status sokongan pilihan parti sama seperti Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lepas, 85% mengakui akan mengekalkan sokongan mereka.

Menyedari hakikat itu, jentera Umno kelihatan begitu agresif menerusi kempen pemimpin-pemimpin parti, sayap Wanita, dan Puteri berusaha memecahkan pola sokongan pengundi di kubu kuat PAS.

Ini dibuktikan apabila Umno berjaya menganjurkan program rasmi kerajaan di kedua- dua pondok yang menjadi teras sokongan PAS selama ini.

Pemecahan tradisi ini ialah adalah kejayaan besar kepada jentera Umno dan fenomena baru kali ini.

Faktor Azizan dan Mukhriz

Ilham Centre mendapati tinggalan pengaruh Tan Sri Ustaz Azizan Razak memang ketara dan kukuh.

68% responden menyifatkan Azizan mempunyai sumbangan dan pengaruh yang besar di sini.

Beliau disifatkan sebagai pemimpin yang sangat prihatin dan mesra rakyat tanpa mengenal perbezaan parti.

Antara jasa besar yang diakui oleh pengundi ialah Azizan berjaya meredakan pertembungan keras yang menjadi tradisi Umno-PAS di kawasan ini.

Ini menyebabkan kedua-dua jentera pilihan raya menggunakan faktor Azizan dalam kempen mereka.

Paling mengejutkan, Umno menganjurkan majis tahlil rasmi dan mencetak kain rentang menyedekahkan al-Fatihah sebagai elemen menarik simpati pengundi yang memberi undi di atas faktor Azizan.

Selain itu Ilham juga mengukur pengaruh Datuk Paduka Mukhriz Mahathir dalam pilihan raya ini.

Merujuk kepada tahap kepuasan hati pengundi kepada kerajaan negeri Kedah di bawah pimpinan beliau menunjukkan pengaruh berada tahap 38%.

Pengundi mengukur dan menilai pengaruh Mukhriz berdasarkan kesungguhan beliau turun padang menemui pengundi sepanjang tempoh kempen berlangsung.

Faktor calon

Walaupun faktor calon hanya 12% dinilai oleh pengundi, namun ia tetap signifikan dalam pilihan raya kecil ini. Jika dibandingkan calon PAS dan calon Umno/BN, ternyata calon PAS mempunyai kelebihan yang ketara.

Kekuatan calon PAS Ustaz Mohd Azam Abdul Samad lebih dikenali oleh pengundi sebelum pilihan raya kecil lagi iaitu sebanyak 50% berbanding calon Umno/BN, Dr Sohaimi Lazim sebanyak 36% sahaja.

Dr Sohaimi hanya dikenali selepas pengumuman calon BN dilakukan.

Kelebihan Azam pada kaca mata pengundi ialah dipilih berdasarkan latar belakang pengajian agama (43%), berasal daripada parti yang sama dengan pengundi (38%) dan berasal daripada keluarga ulama Pondok Bukit Besar (17%) menyumbang sokongan kepada calon ini.

Kekuatan Dr Sohaimi pula terletak kepada sokongan asas penyokong BN (33%) disebabkan beliau calon yang berada di luar senarai perkiraan pengundi sebelum ini.

Selain itu, beliau juga dilihat oleh pengundi mempunyai kelebihan berkelulusan tinggi (16%).

Sepanjang pengamatan berdasarkan data kuantitatif, pengundi di Sungai Limau menyifatkan isu-isu nasional mahupun setempat tidak memberi kesan besar penilaian kepada mereka untuk mengubah pola pengundian.

Isu-isu yang dimainkan oleh pihak media perdana elektronik mahupun bercetak bersumberkan kenyataan-kenyataan pemimpin kedua-dua parti dilihat gagal  mempengaruhi mereka.

Sebagai contoh isu dakwaan TPM mengaitkan kematian Azizan yang mengidap diabetes dengan kenaikkan harga gula  tidak mengurangkan  sokongan kepada kepada calon Umno (28%) manakala isu superimpose calon PAS bersama Azizan juga tidak menjejaskan sokongan kepada calon PAS (19%).

Namun pengundi di sini sedikit terkesan dengan perkara yang dekat dan terbeban kepada mereka. Ini dibuktikan dengan dapatan kajian yang menunjukkan mereka terkesan dengan kenaikan harga minyak (73%) dan harga keperluan barangan (56%).

Walaupun demikian faktor ini tidak mampu mempengaruhi pengundi untuk mengubah pendirian mereka kerana faktor pilihan pengundi berdasarkan parti mengatasi faktor- faktor lain.

Kempen kelihatan berlaku persaingan sengit di antara jentera PAS dan Umno di enam daerah mengundi marginal iaitu Sedaka, Kabu Sepuloh, Padang Lumat, Simpang Tiga, Sungai Daun dan Selengkoh.

Daerah mengundi marginal ini merujuk kepada keputusan pilihan raya lepas yang mana memperlihatkan kedua-dua parti memperolehi undi majoriti tipis.

Kajian ini mengenal pasti kedua-dua jentera rancak menumpukan usaha untuk meraih undi di lokaliti-lokaliti ini. Kempen menerusi kaedah konvensional digunakan pada tahap maksimum oleh jentera Umno dan PAS.

Ilham mengajukan soalan untuk mengukur jenis kempen yang efektif kepada pengundi di kawasan ini dan memperlihatkan kaedah ziarah rumah ke rumah dianggap kaedah paling berkesan kepada mereka.

Kempen ziarah rumah ke rumah oleh jentera Umno disaingi rapat oleh PAS dengan peratusan 80% (Umno) berbanding 74% (PAS).

Umno jelas ke hadapan dalam segmen kaedah kempen menggunakan media massa terutamanya televisyen (84%), radio (49%) dan akhbar harian (74%).

PAS pula hanya bergantung kepada kaedah tradisi mereka iaitu ceramah umum (38%), ceramah kelompok (34%) dan pengedaran risalah calon (39%).

Walaupun begitu, keadaan pengundi kelihatan menerima baik kedua-dua belah jentera namun perubahan sokongan tidak ketara.

PAS bertahan

Prediksi Ilham Centre berdasarkan respons pengundi terhadap undi yang akan diberi kalah menang antara kedua-dua parti ini, PAS mendahului dengan peratusan sebanyak 48% dan BN berada di aras 42% dan bakinya adalah sebanyak 10% yang masih belum membuat keputusan.

Peratusan undi ini diukur kepada pengundi yang berada di dalam kawasan pilihan raya  tanpa melibatkan sekitar 7% pengundi yang berada di luar kawasan.

Pengundi Cina ketika kajian ini dilakukan kelihatan berhati-hati dalam membuat keputusan kali ini. Undi Cina disifatkan mendekati model pilihan rasional (rational choice model) yang mengambil kira aspek untung rugi, faedah serta impak kepada komuniti mereka.

Semua pertimbangan ini mengambil kira survival ekonomi masyarakat ini dalam membuat keputusan politik kali ini.

Kelebihan PAS ialah mempunyai undi asas penyokong tegar dan setia parti di dalam kawasan yang tinggi ditambah dengan kelebihan peratus pengundi yang berada di luar kawasan dilihat condong kepada PAS atau atas kepentingan Pakatan Rakyat.

BN kelihatan optimis untuk menang dalam pilihan raya kecil ini berasaskan beberapa elemen yang kelihatan memberi peluang untuk menang.

Antaranya ialah asas sokongan penyokong tegar dan setia parti kekal, serangan jentera yang berjaya membuat penetrasi di kubu kuat PAS dan di daerah mengundi marginal serta komposisi pengundi muda yang tinggi  yang dianggap condong menyokong mereka. – 2 November, 2013.

– See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pas-menang-di-sungai-limau#sthash.VR7BfJUt.dpuf

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here